6 Mei 2019 - 12:16
A.S Ancam Tariff Ke Atas Hampir Semua Produk China

Presiden Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif ke atas hampir kesemua produk Cina yang akan memasuki pasaran Amerika Syarikat, sambil mengumumkan kenaikan tarif yang dramatik ke atas tariff yang sedia ada.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif ke atas hampir kesemua produk China yang akan memasuki pasaran Amerika Syarikat, sambil mengumumkan kenaikan tarif yang dramatik ke atas tariff yang sedia ada.

Trump pada hari Ahad berkata bahawa tarif ke atas barangan bernilai $ 200 bilion akan meningkat kepada kadar 25 peratus daripada kadar 10 peratus bermula Jumaat ini sekaligus membatalkan keputusan yang dibuatnya pada bulan Februari lepas ketika beliau menyatakan hasratnya untuk mengekalkan kadar tersebut kepada 10 peratus.

Presiden Trump juga berkata bahawa beliau akan menyasarkan lebih daripada $ 325 bilion barangan dari China dengan tarif 25 peratus "tidak lama lagi". Perkara itu secara asasnya merujuk kepada keseluruhan komoditi yang datang dari China.

Perkembangan ini berlaku di sebalik laporan berhubung kemajuan dalam rundingan baru-baru ini yang bertujuan untuk menamatkan perang perdagangan di antara Washington dan Beijing. Ancaman daripada pentadbiran Presiden Trump dilihat bertujuan untuk memaksa perjanjian perdagangan dua hala ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

Washington menjangkakan Beijing dapat menyembuhkan ketidakseimbangan yang wujud di dalam perdagangan di antara kedua-dua negara dan melaksanakan perubahan struktur berhubung amalan Beijing dalam memelihara hak cipta intelektual dan pemindahan teknologi Amerika Syarikat kepada firma-firma China. -Press TV